DHAKA: Bangladesh melonggarkan perintah berkurung pada Jumaat dan Sabtu selama sembilan jam di tengah-tengah tindakan tegas terhadap protes pelajar yang semakin memuncak, lapor Agensi Anadolu (AA).

Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan dalam sidang media awal pagi Jumaat mengumumkan bahawa perintah berkurung yang bermula Sabtu lalu akan dilanjutkan di Dhaka dan tiga bandar lain.

Bagaimanapun, pihak berkuasa melonggarkan perintah berkurung bermula 8 pagi sehingga 5 petang di bandar-bandar terbabit. Sementara bandar-bandar lain akan diputuskan pihak berkuasa tempatan.

Pelajar yang menyertai demonstrasi berjanji untuk terus berprotes sehingga sembilan tuntutan mereka dipenuhi.

Antara tuntutan itu termasuk mengharamkan Liga Chhatra, pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kematian penunjuk perasaan dan permohonan maaf dari Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Angka kematian telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 204 orang sejak protes tercetus pada 16 Julai, menurut akhbar tempatan Prothom Alo.

Kerajaan belum mengeluarkan laporan rasmi mengenai angka korban.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 5,500 orang telah ditahan di seluruh negara termasuk 1,100 penunjuk perasaan pada Khamis. Khan berkata, penahanan akan terus dilakukan.

Kerajaan memutuskan perkhidmatan internet pada Jumaat lalu ketika protes bertukar ganas.

Protes pelajar bermula awal Julai, menuntut reformasi sistem kuota bagi sektor kerajaan.

Protes semakin memuncak selepas Sheikh Hasina melabel penunjuk perasaan sebagai "razakar," istilah yang merujuk kepada pengkhianat yang bersekongkol dengan tentera Pakistan semasa perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

-- BERNAMA