Musim cuti sekolah yang bakal bermula pasti membuatkan banyak keluarga mahu merancang untuk mengunjungi tempat-tempat hiburan dan pelancongan di Singapura.

Namun begitu, jangan terlalu teruja.

Pihak polis pulau republik itu pada Jumaat mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika membuat tempahan bilik hotel dan membeli tiket lokasi tarikan secara dalam talian.

"Dengan musim cuti sekolah Disember ini, pihak polis ingin mengingatkan orang awam supaya berhati-hati apabila membuat pembelian secara dalam talian, terutamanya yang melibatkan tempahan bilik hotel dan tiket-tiket lokasi tarikan pelancongan lain,” ujar kenyataan rasmi polis Singapura.

Antara Januari hingga September tahun ini saja, polis sudah menerima lebih daripada 197 laporan tentang penipuan e-dagang, lapor portal berita Channel NewsAsia.

"Dari segi tiket lokasi tarikan, kemasukan ke taman tema Universal Studios Singapore sering menjadi sasaran penipuan.

“Mangsa sama ada tidak menerima tiket yang ditempah atau menerima tiket kemasukan yang tidak sah selepas bayaran dibuat,” ujar polis.

Pihak berkuasa seterusnya menasihatkan orang awam agar tidak mudah tertipu dengan iklan dalam talian yang menjanjikan harga murah bagi tiket lokasi tarikan mahupun tempahan hotel.

Pengguna seharusnya membaca reviu sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Polis juga memberi amaran bahawa sesetengah sindiket menggunakan akaun bank tempatan atau menunjukkan salinan kad pengenalan atau lesen memandu untuk menyamar sebagai wakil penjual sah.

Selain itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah dengan mengelak membuat bayaran pendahuluan, sebaliknya memanfaatkan platform yang hanya meluluskan pembayaran selepas menerima item tempahan.

“Berhati-hati dengan tiket yang tidak sah ketika hendak memasuki lokasi tarikan, kerana ia mungkin tiket yang diduplikasi.”