JAKARTA: Pengerusi Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) Bahlil Lahadaliaha menggesa kajian semula Cukai Minimum Global (GMT) kerana pelaksanaannya dianggap hanya menguntungkan negara tertentu, lapor Agensi Berita ANTARA.

"Penggunaan cukai minimum global akan menjejaskan insentif pelaburan. Kami memutuskan bahawa ia perlu dikaji semula untuk mengelakkannya daripada hanya memanfaatkan satu kumpulan negara tertentu," menurut Lahadalia yang juga Menteri Pelaburan/Ketua Lembaga Penyelaras Pelaburan (BKPM) Indonesia dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hanya negara maju yang mempunyai daya saing pelaburan yang kukuh akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan GMT, justeru ia perlu dikaji semula.

Beliau menyampaikan permintaan untuk mengkaji semula GMT semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-55, di Semarang, Jawa Tengah pada Sabtu (19 Ogos).

Menurut Lahadalia, negara maju mesti membuka ruang kepada negara membangun menarik pelaburan bagi mencapai kemajuan.

"Negara maju harus memberi ruang kepada negara membangun untuk mempercepatkan pelarasan mereka supaya kita sudah berada pada tahap yang sama ketika melaksanakan percukaian global," katanya.

Lahadalia berkata, pelaksanaan awal GMT akan mengganggu program hiliran yang digalakkan oleh Kerajaan Indonesia, kerana pelabur dari negara maju akan kembali melabur di negara asal mereka.

"Cukai minimum global sebanyak 15 peratus akan menyebabkan negara membangun yang mendorong hiliran mengalami halangan besar kerana pelabur yang mempunyai teknologi itu akan melabur di negara asal mereka," jelasnya.

Dasar GMT juga akan memaksa negara membangun menghantar bahan mentah ke negara maju. Lahadalia menilai GMT tidak lebih daripada tipu helah negara maju.

Lebih-lebih lagi katanya, negara membangun memerlukan lebih banyak insentif untuk menarik pelaburan, jadi dasar percukaian negara maju tidak boleh digunakan di negara membangun tanpa pelarasan.

--BERNAMA-ANTARA