ANGKA korban gempa bumi kuat yang melanda tengah Turkiye dan barat laut Syria meningkat kepada lebih 500 orang.

Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata 284 orang terkorban di negara berkenaan, manakala lebih 2,300 orang lagi cedera.

Di Syria pula, seorang pegawai kesihatan kerajaan memaklumkan lebih 237 orang terkorban dengan kira-kira 600 orang cedera.

Kebanyakan mangsa yang terkorban di Syria dilapor di Wilayah Hama, Aleppo serta Latakia, lapor Reuters.

Gempa Bumi | Tiada rakyat Malaysia terlibat ketika ini - Wisma Putra

Sementara itu, dalam satu kenyataan, pejabat Presiden Turkiye memaklumkan Recep Tayyip Erdogan mengarahkan operasi menyelamat segera digerakkan dan maklumat mengenai situasi terkini di lapan wilayah yang terjejas sentias dikemas kini.

Dalam masa yang sama, Presiden Syria, Bashar al-Assad turut mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar untuk mengkaji kemusnahan dan membincangkan langkah seterusnya.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.