Angka kematian akibat koronavirus mengatasi jumlah korban SARS

Astro Awani
Februari 9, 2020 09:26 MYT
Jumlah kematian akibat novel koronavirus kini meningkat kepada 813, mengatasi kematian akibat wabak SARS. -Gambar Reuters
JUMLAH korban akibat koronavirus kini meningkat kepada 814, mengatasi angka kematian akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 18 tahun lalu.
Wilayah Hubei sahaja mencatat penambahan bilangan kematian sebanyak 89 orang.
Jumlah keseluruhan maut akibat novel koronavirus di China sahaja adalah sebanyak 812, lapor CNBC.
Bilangan kematian di seluruh dunia pula adalah dua, masing-masing satu kematian di Filipina dan Hong Kong.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kematian SARS pada 2002 dan 2003 adalah 774 orang dengan 8,096 orang dijangkiti di seluruh dunia.
Jawatankuasa Kesihatan Wilayah Hubei turut melaporkan penambahan sebanyak 2,147 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di situ sebanyak 27,100 sehingga Sabtu.
Virus baharu itu dilaporkan oleh WHO pada hujung Disember tahun lalu dipercayai berpunca dari pasar hidupan laut dan haiwan liar di Wuhan.
Virus yang diberi nama sementara NCP oleh kerajaan China itu telah menjangkiti lebih 35,000 orang di seluruh dunia.
Menurut pertubuhan antarabangsa itu juga, sekurang-kurangnya 300 kes telah dilaporkan di 24 negara dan kebanyakannya di Asia.
#China #Filipina #Hong Kong #Hubei #koronavirus #Sindrom Pernafasan Akut Teruk SARS #WHO #Wuhan
;