AKTRES Hollywood terkenal, Angelina Jolie yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, secara rasmi telah membuka Instagram pada Jumaat.

Kehadirannya dalam platform media sosial itu bukan untuk tujuan hiburan, sebaliknya untuk menyuarakan isu-isu mengenai konflik yang sedang berlaku di Afghanistan.

Jolie, 46, memuat naik sepucuk surat yang diterimanya daripada seorang gadis Afghanistan yang menyatakan ketakutan terhadap krisis yang berlaku di negara itu.

Dalam surat itu, gadis itu menyatakan kebimbangan dan ketakutannya terhadap kehidupan di bawah kepimpinan Taliban, dengan menulis bahawa "kami dipenjarakan lagi."


"Sebelum Taliban menguasai Afghanistan, kami semua mempunyai hak, kami dapat mempertahankan hak kami dengan bebas.

"Tetapi selepas adanya kehadiran mereka, kami semua takut kepada mereka, dan kami seolah-olah merasakan semua impian kami sudah hilang,” menurut kiriman surat itu.

Kata Jolie, rakyat Afghanistan kini tidak mempunyai akses untuk berkomunikasi di media sosial dan berkongsi keadaan dihadapi mereka dengan dunia luar.

Untuk itu, dia bertindak untuk tampil di Instagram bagi berkongsi kisah dan menjadi suara rakyat Afghanistan kepada seluruh dunia bagi memperjuangkan hak mereka.

BACA: Taliban nafi berita warga asing diculik berhampiran Lapangan Terbang Kabul 

Ujar Jolie, ia sesuatu yang cukup menyedihkan apabila melihat rakyat Afghanistan melarikan diri keluar dari negara sendiri kerana ketakutan dan ketidakpastian yang melanda tanah air mereka.

“Membelanjakan begitu banyak masa dan wang hanya untuk menumpahkan darah dan kehilangan nyawa adalah kegagalan yang hampir mustahil untuk difahami,” tulis pelakon yang terkenal dengan watak Tomb Raider itu.

Jolie sememangnya selebriti yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaannya sebelum ini.

Dia sering tampil menghulurkan bantuan di bawah agensi-agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setakat ini, akaun Instagramnya telah mempunyai seramai 5.2 juta pengikut tidak sampai dalam tempoh 24 jam dan perkongsiannya yang pertama sudah mendapat 2.1 juta tanda suka dan ribuan komen daripada pengikutnya.


Krisis Afghanistan | Lapangan terbang di Kabul kembali sesak