Ahli politik Myanmar, Naing Ngan Lin terlantar di hospital selepas diserang sekumpulan samseng pada malam Khamis.

Lin yang mewakili Parti Aung San Suu Kyi bagi Pilihanraya Umum (PRU) Myanmar akan datang, cedera di kepala dan tangan selepas ditikam dengan pisau.

Menurut saksi, dia diserang empat lelaki ketika berada di bandar Thaket.

Sementara itu, Isteri Lin, Khin Sandar Win menyifatkan kejadian itu sebagai satu serangan yang dirancang.

"Saya rasa mereka lakukan ini dengan sengaja. Mereka dilihat sangat bersedia untuk melakukan serangan ini.

"Menyerang seseorang dengan pisau bukan satu kemalangan. Ia merupakan satu perkara yang dirancang. Mereka juga sempat mengasah pisau itu."


Selain Lin, dua lelaki turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Lin merupakan calon daerah Yangon, mewakili Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Myanmar.

Setakat ini masih tidak jelas motif serangan tersebut.

Biarpun kempen sudah berlangsung dua bulan, insiden keganasan berkaitan pilihan raya sangat jarang berlaku di Myanmar.