DUA letupan berasingan menggegarkan Kabul ibu kota Afghanistan pada Sabtu, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga maut dan empat yang lain cedera.

Salah satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah kedai sehingga menyebabkan runtuhan kepada struktur bangunan tersebut.

Setakat ini, masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Ledakan bom serta keganasan di Afghanistan dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Ini meskipun wakil kerajaan dan Taliban mengadakan rundingan di Qatar untuk mencapai perjanjian damai bagi mengakhiri peperangan yang berlangsung selama beberapa dekad.

Perjanjian itu, yang ditandatangani di Qatar, bertujuan menjadi landasan bagi rundingan damai langsung antara kerajaan Afghanistan dan Taliban.