HERAT: Afghanistan di bawah kerajaan baharu kini lebih bersifat terbuka dan bersedia mengalu-alukan kerjasama negara luar dalam membantu memajukan negara itu, kata Gabenor Herat, Noor Mohammad Islamjar.

Katanya, Afghanistan memerlukan pelaburan asing serta kepakaran luar dalam bidang sains dan teknologi untuk membantu negara itu yang kaya dengan hasil bumi seperti gas dan minyak.

"Kami turut mengalu-alukan perkongsian kepakaran sains dan teknologi atau apa saja untuk membantu membangunkan serta menambah baik apa yang ada di negara ini (Afghanistan) pada masa akan datang," katanya kepada Bernama melalui penterjemah bahasa ketika ditemui di sini.

Noor Mohammad berkata pihaknya juga berharap dapat menwujudkan hubungan dua hala bersama-sama Malaysia.

Wartawan Bernama Muhammad Afiff Md Adnan, yang merupakan satu daripada 14 peserta yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) ke Afghanistan, menjadi antara petugas media tempatan pertama menjejakkan kaki ke negara itu selepas diambil alih kerajaan interim Taliban.

Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.

Kerajaan Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan sebelum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan.

-- BERNAMA