"Adakah anda faham?"- Surat amaran polis kepada Dr Li Wenliang cetus kemarahan

Astro Awani
Februari 9, 2020 12:16 MYT
Dr Li meninggal dunia akibat terkena jangkitan koronavirus dari salah seorang pesakit yang dirawatnya.
KEMATIAN Dr. Li Wenliang, doktor di Wuhan akibat jangkitan koronavirus menyebabkan netizen tidak berpuas hati dengan cara pengendalian kerajaan China dalam menangani hal itu.
Ini adalah disebabkan apabila Dr Li dipersoalkan dan dituduh menyebarkan khabar angin berkenaan wabak yag sehingga kini telah menyebabkan lebih 800 kematian.
Dr Li merupakan antara individu pertama yang memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) sebagai ancaman awal.
Berikutan amaran yang dikongsi dengan rakan-rakan setugas, beliau dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana didakwa sebagai menyebarkan khabar angin.
Dr Li kemudiannya dilaporkan diarahkan menandatangani surat amaran polis pada 31 Januari lalu yang memperakui dia melakukan kesalahan (akibat menyebarkan berita palsu) dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.
Surat amaran polis itu dikongsi oleh Dr Li dalam satu aplikasi media sosial di China itu.
Kandungan surat berkenaan adalah seperti berikut:
“Agensi penguatkuasa mahu anda bekerjasama, patuh kepada pihak polis dan hentikan perbuatan anda. Boleh anda lakukan itu?”
“Saya boleh,” jawab Li di bawah soalan tersebut.
“Sekiranya anda terus berkeras, tidak berubah dan terus melakukan kegiatan haram ini, anda akan dihukum mengikut undang-undang. Adakah anda faham?”
“Saya faham,”jawab Li.
Pendedahan itu sehingga kini terus mencetuskan kemarahan netizen China di mana ia menunjukkan penindasan dan ketidakpedulian kepada suara rakyat.

# #LiWenliang You are a hero. pic.twitter.com/a9YKnaHkXl

— Gianluca Costantini (@channeldraw) February 7, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Li disahkan meninggal dunia pada jam 2.58 pagi pada 7 Februari lalu akibat terkena jangkitan daripada salah seorang pesakitnya.
Doktor berusia 34 tahun itu disahkan menghidap koronavirus pada 1 Februari lalu setelah mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari lalu.
Pada 30 Disember lalu, Dr. Li memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.
BACA: Dr Li Wenliang, doktor yang beri amaran tentang koronavirus meninggal dunia
BACA: Beri amaran koronavirus, doktor ini dipanggil polis, kini dia terlantar sakit
#Astro Awani #China #Dr Li Wenliang #koronavirus #Koronavirus 2019-nCoV #Wuhan
;