KYIV: Seramai 97 kanak-kanak di Ukraine terbunuh akibat konflik Rusia-Ukraine, kata pihak berkuasa pada Selasa.

Pejabat ketua pendakwa raya di Ukraine memaklumkan lebih 100 kanak-kanak turut cedera antara 24 Feb dan 15 Mac, lapor Agensi Anadolu.

"Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak terbunuh setiap hari akibat serangan bom," menurut pejabat itu.

Konflik Rusia-Ukraine bermula 24 Feb, telah mengundang kecaman antarabangsa, sehingga membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong keluarnya firma global dari Rusia.

Sekurang-kurangnya 636 orang awam terbunuh dan 1,125 cedera di Ukraine.

Lebih tiga juta pelarian melarikan diri ke negara jiran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA