Tentera Syria merampas daerah utama di bahagian Tenggara Aleppo pada Isnin yang menjadikan 90 peratus kawasan Aleppo kini dikuasai mereka.

Menurut pemerhati bagi hak asasi manusia di Syria, tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad merampas daerah Sheikh Saeed selepas pertempuran sengit yang berlangsung sejak petang Ahad.

"Tentera kini dalam kawalan penuh di Sheikh Saeed dan menguasai 90 peratus kawasan yang dikuasai pejuang tempatan sebelum ini," kata Ketua Pemerhati Abdel Rahman kepada Agensi.

Aleppo merupakan bandar kedua Syria yang terpisah antara kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dengan kawasan pejuang tempatan di bahagian Timur sejak 2012.

Dalam tempoh kurang daripada sebulan, serangan demi serangan telah menyebabkan kebanyakan kawasan dikuasai pejuang tempatan.

Sekurang-kurangnya 413 orang awam terbunuh di Timur Aleppo sejak serangan bermula 15 November lalu manakala lebih 300,000 orang telah terbunuh sejak konflik pertama Syria tercetus pada Mac 2011.