BANDARAYA GAZA: Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad mengumumkan kematian timbalan pengarahnya bagi utara Gaza dalam serangan udara Israel.

Ini menjadikan bilangan anggota Pasukan Pertahanan Awam Palestin yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 83 orang, lapor Agensi Anadolu (AA).

Jurucakap pertahanan awam Gaza Mahmoud Bassal dalam satu kenyataan meratapi "pemergian timbalan pengarah pertahanan awam di utara Gaza Mohammad Abdelhay Morsi susulan serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman keluarganya awal pagi ini di kawasan Al-Alami, Jabalia."

Bassal berkata selain 83 anggota yang terbunuh, lebih 200 yang lain cedera.

Beliau turut menekankan cabaran yang dihadapi oleh pasukan pertahanan awam, termasuk kekurangan peralatan menyelamat khusus serta kekurangan bahan api dan alat ganti yang diperlukan untuk meneruskan operasi mereka bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Sejak 7 Oktober tahun lepas, serangan tanpa henti Israel telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA