JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa 45 warga Malaysia menjadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis semasa konsert Djakarta Warehouse Project (DWP).

Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (AS$160,000).

"Dua aduan rasmi telah difailkan oleh warga Malaysia," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Metro TV, sambil menambah bahawa identiti mereka akan dilindungi sepanjang siasatan.

Tegasnya, kes itu dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.

"Kami, kepimpinan Polis Negara, serius untuk menangani sebarang bentuk pelanggaran yang dilakukan oleh pegawai polis kami dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira siapa mangsa, " tambahnya.

Pada Sabtu, polis Indonesia menahan 18 anggota kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia pada konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember.

Susulan penahanan itu, Menteri Pelancongan Indonesia Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka menyiasat dakwaan peras ugut pelancong semasa konsert itu.

Kementerian telah menyelaraskan dengan penganjur acara dan polis untuk menangani isu itu sejak kebimbangan pelancong didedahkan kepada umum.

"Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan kesan yang disebabkan oleh kejadian ini," katanya.

-- BERNAMA