Sekurang-kurangnya 38 buruh dan keluarga mereka maut apabila sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan di pinggir bandar Mumbai runtuh menurut polis hari ini (Jumaat).

Bangunan tujuh tingkat runtuh pada petang Khamis menyaksikan sisa runtuhan dan besi konkrit setinggi lapan meter terpaksa dialihkan oleh pihak penyelamat dan penduduk setempat.

Usaha menyelamat diteruskan hingga ke waktu malam dengan pencari gali dan pemotong besi diupah bagi mencari mangsa yang masih terselamat.

"29 maut setakat ini. Kami telah menyelamatkan 60 mangsa, sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan," menurut K.P. Ranguvanshi, pesuruhjaya polis daerah Thane.

Sebahagian mangsa merupakan buruh asing yang datang ke Mumbai untuk bekerja di bidang pembinaan dengan upah ratusan rupee atau kira-kira $6 sehari. Kebiasaannya mereka akan turut membawa isteri dan anak-anak mereka untuk tinggal di kawasan pembinaan.

Kerajaan tempatan sedang menyiasat insiden tersebut dan akan memeriksa kerangka lain yang baharu dibina baru-baru ini.

"Bangunan yang runtuh itu tiada permit pembinaan. Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh dan menyiapkan laporannya," jelas Sandeep Malwi, jurucakap Majlis Perbandaran Thane.

Akhbar harian The Hindustan Times melaporkan pihak kontraktor mungkin mengabaikan peraturan pembinaan bangunan.

"Bangunan tujuh tingkat dibina hanya dalam tiga ke empat bulan. Ianya juga dipercayai menggunakan bahan-bahan berkualiti rendah," menurut ketua pengurusan bencana tempatan.

Bangunan runtuh adalah perkara biasa di India di mana keadaan ekonomi yang kukuh membolehkan banyak bangunan tinggi dibina namun tidak mendapat kebenaran da melanggar peraturan keselamatan.

Februari lalu, sebuah jambatan yang dibina di lapangan terbang runtuh dan meragut tiga nyawa manakala tujuh lagi cedera.

Dalam satu kejadian terburuk beberapa tahun lalu, 69 terbunuh dan 80 lagi cedera pada November 2010 di New delhi apabila bangunan yang dalam pembinaan runtuh dan memerangkap beberapa keluarga yang tinggal di tingkat bawah.