Ringkasan AI
- 32 kematian dan kecederaan dilaporkan di Bengal Barat dan empat negeri timur laut India.
- Kerajaan setempat telah mengarahkan pemindahan lebih daripada 100,000 penduduk dari kawasan berisiko untuk keselamatan mereka.
- Jabatan Meteorologi India telah mengeluarkan amaran berterusan mengenai cuaca buruk di kawasan tersebut, termasuk hujan lebat yang dijangka berlarutan.
Jumlah kematian di negeri timur India di Bengal Barat selepas Siklon Remal meningkat kepada tujuh orang.
Seorang bapa dan anak lelaki terbunuh akibat terkena renjatan elektrik di Memari, Burdwan Timur. Dua lagi kematian dilaporkan akibat renjatan elektrik di Panihati di Utara 24-Parganas dan Maheshtala di Selatan 24-Parganas.
Seorang lelaki berusia 51 tahun maut apabila konkrit runtuh dan menimpanya akibat hujan lebat di kawasan Bibir Bagan, Kolkata, ibu kota Bengal Barat.
Seorang wanita berusia 80 tahun maut di dalam rumahnya di Pulau Mousuni di Selatan-24 Parganas apabila sebatang pokok tumbang di rumah berkenaan.
Kematian ketujuh dilaporkan dari Haldia.
Pada Ahad malam, angin puting beliung itu meninggalkan kesan kerosakan dan kemusnahan infrastruktur serta harta benda di seluruh negeri itu setelah mendarat antara pantai Bengal Barat dan negara jiran Bangladesh.
Setelah melalui pantai Bengal Barat dan Bangladesh, taufan itu telah menerbangkan atap, mencabut pokok serta tiang elektrik, menyekat jalan di Kolkata dan daerah pantai, kata pegawai.
Kejadian pokok dan elektrik tumbang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di pelbagai bahagian negeri itu.
Hujan lebat telah membanjiri rumah dan kawasan ladang. Laporan menyebut di beberapa kawasan, air masin dari Teluk Bengal berdekatan telah memecah tembok penahan dan mengalir ke ladang, merosakkan tanaman.
Kerajaan tempatan telah memindahkan lebih 100,000 orang dari kawasan terdedah sebelum taufan itu mendarat.
Siklon Remal turut membadai negeri-negeri timur laut India seperti Mizoram, Assam, Nagaland dan Meghalaya.
Tujuh belas orang terbunuh dan tujuh lagi dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan setelah sebuah kuari batu runtuh pada Selasa di Mizoram, kata polis.
Di Assam, tiga orang terbunuh manakala 17 lain cedera dalam kejadian hujan lebat.
Seorang terbunuh selepas sebuah dinding runtuh di daerah East Jaintia Hills di Meghalaya. Empat yang lain cedera dalam tanah runtuh di negeri itu.
Laporan menyatakan empat kematian dan kerosakan membabitkan lebih 40 rumah telah dilaporkan di Nagaland akibat Siklon Remal.
Jabatan Meteorologi India telah mengeluarkan amaran hujan lebat di negeri timur laut dalam tempoh dua hari akan datang.
-- BERNAMA