Timbalan Perdana Menteri Turki Numan Kurtulmus berkata, serangan itu mensasarkan konvoi kenderaan tentera yang melalui jalan terbabit.
Insiden berlaku di kawasan yang terletak berhampiran Parlimen dan ibu pejabat tentera Turki
Bagaimanapun, Kurtulmus berkata, setakat ini, masih belum jelas siapa yang bertanggungjawab dengan kejadian itu
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Bekir Bozdag menyifatkan ia sebagai tindakan keganasan.
Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan kepada tahap kecederaan parah mangsa yang dikejarkan ke hospital yang membabitkan ramai orang awam.
Ambulans dan jentera bomba dikerah ke tempat kejadian dan kesemua mangsa dibawa ke hospital.
Turut kelihatan pasukan bomba yang cuba memadamkan kebakaran yang mengganggu sistem perkhidmatan bas di lokasi kejadian.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menangguhkan perjalanannya ke Azerbaijan.
"Turki tidak akan teragak-agak untuk menggunakan haknya dalam mempertahankan diri pada bila-bila masa dan mana-mana tempat," kata Erdogan.
Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg memberitahu, NATO mengutuk kejadian pengeboman terbabit.
"NATO akan berganding bahu untuk memerangi keganasan," katanya.
Presiden Perancis, Francois Hollande turut mengecam serangan terbabit dan menganggap ia sebagai tindakan menjijikkan.
Kumpulan Daesh didakwa bertanggungjawab ke atas siri pengeboman yang berlaku di Turki sejak pertengahan tahun lepas.