Sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam satu letupan bom ketika asyik menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia di utara Nigeria pada Selasa malam.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Kejadian berlaku di Nayi-Nama dalam daerah Damaturu. Pihak berkuasa bagaimanapun mengesyaki kumpulan militan Boko Haram.

Kumpulan itu sebelum ini pernah menyerang lokasi skrin besar tempat orang ramai menonton perlawanan Piala Dunia.

Boko Haram pada April lepas menculik lebih 200 kanak-kanak perempuan di timur laut Nigeria. Tindakan kumpulan yang melancarkan pemberontakan sejak lima tahun itu mencetuskan kutukan antarabangsa.

Seorang saksi berkata bom yang meletup itu dipercayai disorokkan dalam sebuah beca bermotor tidak jauh dari tempat orang ramai sedang menonton perlawanan antara Brazil dan Mexico.

Kejadian berlaku pada pukul 8.15 malam waktu tempatan (3.15 pagi waktu Malaysia) iaitu 15 minit selepas sepak mula, kata pesuruhjaya polis Sanusi Ruf'ai.

"Kami menerima 21 mayat dan 27 mangsa yang cedera," kata seorang sumber di Hospital Pakar Sani Abacha di Damuturu. Damuturu ialah ibu negeri Yobe.



Menurut sumber itu lagi, mangsa termasuk remaja dan kanak-kanak. "Mereka melecur, luka dan patah tulang," katanya kepada AFP.

Serangan bom ini merupakan kejadian terbaru di lokasi tayangan perlawanan bolasepak Piala Dunia di Nigeria yang dikaitkan dengan Boko Haram. Kumpulan itu sebelum ini menyerang sekolah yang menggunakan kurikulum barat dan gereja Kristian.

Pemimpin Boko Haram, Abubakar Shekau sebelum ini mengutuk sukan bolasepak sebagai sebahagian daripada agenda kumpulan itu untuk melaksanakan hukum Islam yang ketat di utara Nigeria.

Dalam beberapa mesej melalui video, beliau menyifatkan bolasepak dan muzik sebagai agenda Barat untuk melalaikan umat Islam daripada tuntutan agama.

Pada April lalu, lelaki bersenjata yang dipercayai anggota Boko Haram menyerang sekumpulan orang ramai yang sedang menonton perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Dua orang terbunuh ditembak.

Bolasepak merupakan sukan utama di Nigeria. Serangan yang mensasarkan peminat bolasepak baru-baru ini di beberapa lokasi menyebabkan pihak berkuasa melarang skrin besar untuk tayangan umum atas sebab-sebab keselamatan. Kebanyakan peminat bolasepak juga memilih untuk tidak keluar rumah.

Nigeria diletakkan dalam Kumpulan F bersama Iran, Bosnia-Herzegovina dan Argentina.

Dalam perlawanan pertamanya pada awal pagi Selasa, Nigeria seri 0-0 dengan Iran. Ia akan bertemu Bosnia-Herzegovina pada awal pagi Ahad ini. -- Agensi.