Sekurang-kurangnya 14 terbunuh termasuk orang awam dan pasukan keselamatan selepas sebuah motosikal yang dilengkapi bahan letupan meletup pada perhimpunan pilihan raya di timur laut Afghanistan pada Sabtu.

Menurut jurucakap Ketua Polis Wilayah Takhar, Khalil Aser, seramai 32 yang lain cedera selepas motosikal yang diletakkan berhampiran perhimpunan di daerah Rustaq itu meletup.

Kejadian itu berlaku pada tengah hari sebelum seorang calon wanita yang bertanding pada pilihan raya 20 Oktober ini, Nazefa Yusoufi Beg tiba di perhimpunan itu, kata Aser.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada serangan itu menyasarkan Yusoufi.

Jurucakap Gabenor Wilayah, Jawad Hajri berkata, Rustaq adalah daerah terpencil yang mana serangan pemberontak tidak berlaku.



Malah penyokong setiap calon yang berhimpun yakin keadaan di perhimpunan itu selamat.

Setakat ini, tiada sesiapa yang bertanggungjawab atas serangan itu.