14 maut, ratusan hilang dalam banjir kilat di India

Astro Awani
Februari 7, 2021 04:43 MYT
Anggota Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP) memberi bantuan kepada mangsa banjir yang berjaya di selamatkan di Chormi. - REUTERS
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 14 individu maut manakala 150 yang lain dilaporkan hilang selepas banjir kilat menenggelamkan kawasan lembah di pergunungan Himalaya di utara India.
Banjir berkenaan turut melanda beberapa loji hidrokuasa yang masih dalam pembinaan dan sarat dengan pekerja.
Keadaan itu berlaku selepas serpihan besar glasier jatuh ke dalam Sungai Rishi Ganga pada pagi Ahad.
Media tempatan melaporkan banjir berkenaan turut mencetuskan runtuhan salji yang menyebabkan beberapa bangunan musnah.
Kira-kira 154 pekerja dilaporkan berada di projek binaan tersebut ketika kejadian berlaku.
"Sejumlah 14 mayat ditemui di dalam sungai.
"Kami hanya akan mengetahui identiti mangsa dan pekerja yang hilang pada Isnin," kata petugas Agensi Pengurusan Bencana di Uttarakhand kepada Wall Street Journal.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan sehingga lewat malam Ahad yang disertai anggota tentera, polis dan pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India.
Beberapa pekerja yang terkandas di dalam terowong bawah tanah berjaya diselamatkan.
Menurut jurucakap kerajaan, penyelam dari pasukan Angkatan Tentera Laut telah tiba di lokasi kejadian bagi membantu operasi pencarian, sementara anggota Tentera Udara India telah diarah untuk bersiap sedia untuk sertai usaha berkenaan.
"Kami akan menumpukan segala perhatian kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa," kata Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat dan sidang media pada Ahad.
Susulan kejadian, Perdana Menteri Narendra Modi mengarahkan usaha mencari dan menyelamat dipertingkatkan bagi mengesan mangsa.
Beliau turut mengumumkan dana kerajaan bagi membantu keluarga mangsa.
Dalam ciapan terbaharu di akaun Twitter rasmi miliknya, beliau berkata India berdiri bersama Uttarakhand dan seluruh negara mendoakan keselamatan semua di sana.

Am constantly monitoring the unfortunate situation in Uttarakhand. India stands with Uttarakhand and the nation prays for everyones safety there. Have been continuously speaking to senior authorities and getting updates on NDRF deployment, rescue work and relief operations.

— Narendra Modi (@narendramodi) February 7, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#banjir #maut #India #himalaya #Sungai Rishi Ganga #glasier
;