110,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia

Bernama
Mac 9, 2020 22:01 MYT
Keadaan lengang di Dataran St Mark di Venice, Itali, 9 Mac, 2020, akibat sekatan perjalanan yang dikenakan kerajaan Itali susulan penularan wabak COVID-19. (Foto AP)
COVID-19 kini menjangkiti lebih 110,000 orang di seluruh dunia dengan jumlah korban meningkat kepada 3,831 orang, memetik laman web "Worldometer" lapor agensi berita Anadolu.
Daripada keseluruhan jumlah kematian itu sebanyak 3,120 kes dilaporkan di China, sejak virus mula dikesan di bandar Wuhan pada Disember lalu.
Di luar China, virus itu telah meragut banyak nyawa dengan di Itali seramai 366 orang, Iran (194), Korea Selatan (53) dan Amerika Syarikat (22). Sementara itu, lebih 62,000 pesakit pulih.
Menurut laman web itu lagi, COVID-19 telah merebak ke lebih 100 negara dan wilayah, termasuk 7,382 di Korea Selatan, 7,375 di Itali, 6,566 di Iran, 502 di Jepun, 1,209 di Perancis, 554 di Amerika Syarikat dan 278 di United Kingdom.
Beberapa negara telah mengambil langah pencegahan untuk membendung wabak daripada terus menular, antaranya menutup sempadan serta menguatkuasakan larangan perjalanan udara dan darat.
Negara paling teruk terjejas termasuk China, Itali dan Iran.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #China #COVID-19 #Iran #Itali #Jepun #kematian #Korea Selatan #koronavirus #larangan perjalanan #Perancis #United Kingdom #virus #wabak #Worldometer #Wuhan