Sebelas orang termasuk warga asing maut selepas pesawat yang dinaiki terhempas di utara Tanzania, pada Rabu pagi.

Pengarah Urusan Coastal Aviation, Julian Edmunds berkata, pesawat Cessna Grand Caravan yang membawa 10 penumpang dan seorang juruterbang itu, dipercayai terhempas kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan, di kawasan Empakaai ketika dalam perjalanan menuju ke Serengeti.

Nama mangsa masih dirahsiakan dan usaha untuk memaklumkan waris sedang dilakukan. Punca kemalangan masih disiasat.

Menurut Edmunds, pihaknya terkejut dengan kejadian itu dan akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan.

"Saya sering menaiki pesawat berkenaan dan amat yakin terhadap keupayaan juruterbang serta keadaan pesawat," katanya,

Menurut seorang pegawai di Taman Negara Serengeti yang enggan dikenali, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kecuali juruterbang.

"Mangsa terdiri warga asing dan rakyat tempatan yang bekerja dalam industri pelancongan," katanya.

-- BERNAMA-NNN-AGENCIES