LONDON: Seramai 1,100 lagi banduan dijangka dibebaskan awal di United Kingdom (UK) minggu depan ketika kerajaan Britain terus berusaha menangani masalah kesesakan penjara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Langkah itu merupakan pusingan kedua pembebasan awal di bawah dasar yang diperkenalkan pada awal penggal pemerintahan kerajaan Buruh bagi mengurangkan tempoh hukuman yang perlu dijalani kebanyakan pesalah dari 50 peratus kepada 40 peratus.

Pusingan pertama pembebasan pada pertengahan September menyaksikan 1,700 banduan dibebaskan lebih awal dan membantu mengurangkan jumlah populasi penjara daripada rekod tertinggi 88,521 kepada 86,333.

Namun, bilangan itu meningkat semula kepada 87,028 pada Jumaat, hanya di bawah paras ketika Setiausaha Kehakiman Shabana Mahmood mengumumkan rancangan itu pada Julai.

Skim pembebasan awal itu tidak terpakai kepada beberapa banduan, termasuk mereka yang disabitkan dengan kesalahan seksual, penderaan domestik atau keganasan, atau pesalah ganas yang menjalani hukuman lebih daripada empat tahun.

Pada September, 37 banduan dibebaskan secara tidak sengaja selepas hukuman mereka tidak direkodkan dengan betul. Mahmood mengesahkan pada Khamis bahawa kesemua 37 banduan telah ditahan semula.

Mahmood dijangka melancarkan semakan semula hukuman pada minggu ini, yang berkemungkinan mempertimbangkan beberapa pembaharuan, termasuk sama ada hukuman komuniti yang lebih tegas akan lebih berkesan daripada hukuman penjara jangka pendek.

Ini susulan pengumuman beliau bahawa kuasa menjatuhkan hukuman majistret akan digandakan sekali lagi, membolehkan mereka memenjarakan penjenayah sehingga setahun.

-- BERNAMA