Eq8 FTSE Malaysia Enhanced Dividend Waqf ETF (EQ8WAQF) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, pada premium dua sen melebihi harga terbitannya RM1.00 dengan 4,000 saham didagangkan.
Pengarah Eksekutif Eq8 Syed Umar Abdul Rahman Alhadad berkata Waqf ETF menyasarkan untuk mengagihkan pendapatan setiap tahun dengan separuh diperuntukkan sebagai aset Wakaf dan separuh lagi dibayar kepada pemegang unit.
Beliau berkata Waqf ETF menawarkan peluang kepada pelabur untuk mencapai matlamat pelaburan dwi impak.
“EQ8WAQF menampilkan skim diterajui indeks yang menjana dividen daripada indeks direka dengan teliti, menggabungkan strategi berfokuskan pendapatan dengan pendekatan berasaskan momentum.
“Ia terbuka kepada semua agama dan negara yang mempunyai akses kepada Bursa Malaysia. Ini adalah perbezaan utama Waqf ETF ini berbanding dana Wakaf lain di pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu.
Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kenanga Investors Datuk Ismitz Matthew de Alwis dan CEO YWM Dr Ridzwan Bakar.
Sementara itu, Dr Ridzwan menegaskan Wakaf bukan eksklusif untuk umat Islam tetapi merupakan konsep universal dan bahagian penting dalam kewangan Islam dan kewangan sosial yang harus diperjuangkan.
"Malaysia mempunyai keupayaan untuk memperjuangkan kewangan Islam dan kami percaya..kami juga boleh menjadi peneraju kewangan sosial Islam melalui Wakaf," katanya.
Waqf ETF adalah produk kelima kepada ETF Eq8, menjadikannya pengeluar ETF terbesar di Malaysia.
-- BERNAMA