KUALA LUMPUR: Kerajaan kini giat melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan harga barangan bagi memastikan subsidi yang disasarkan dapat membantu mengawal inflasi.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, pemantauan intensif telah dijalankan sejak 8 Jun lalu, dua hari sebelum penyasaran subsidi bermula melalui operasi khas OpsKesan 2.0.

Penyasaran subsidi: Tingkat pemantauan, kawal inflasi

Katanya, terdapat dua kumpulan utama yang memainkan peranan penting dalam usaha ini.

“Kumpulan pertama berfungsi sebagai pemantau harga ke atas sekitar 480 jenis barangan untuk mengenal pasti sebarang perubahan harga yang tidak munasabah.

“Kumpulan kedua ialah pasukan penguatkuasa seramai 2,200 pegawai untuk mengawal bekalan barangan di premis seluruh negara,” tambahnya.

Menurut beliau, sehingga kini, lebih 21,000 premis telah dipantau, dengan peningkatan pemantauan sekitar 500 premis sehari.

“Sekiranya terdapat kenaikan harga yang mencurigakan, notis akan dikeluarkan kepada peniaga untuk menjelaskan kenaikan tersebut.

“Setakat ini, 244 notis telah dikeluarkan dan sembilan kertas siasatan telah dibuka.

“Walau bagaimanapun, kertas siasatan ini masih berada di peringkat Timbalan Pendakwa Raya dan belum ada kompaun dikenakan,” jelas beliau dalam temu bual bersama Niaga AWANI pada Selasa.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk bekerjasama menjadi mata dan telinga KPDN dalam memastikan maklumat mengenai pencatutan dapat disampaikan kepada pihak berkuasa.

Antara lain, beliau menegaskan tentang kurangnya jumlah kenderaan layak yang mendaftar untuk mendapatkan subsidi diesel.

Hal ini seterusnya akan mendorong kepada kenaikan harga barang yang membebankan pengguna.