Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkata trafik penumpang udara antarabangsa meningkat 35.9 peratus dengan jumlah 24.0 juta berbanding 17.6 juta pada separuh pertama 2023.
Bagaimanapun, trafik penumpang domestik merekodkan penurunan 0.7 peratus tahun ke tahun kepada 22.6 juta penumpang berbanding 22.8 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Peratusan trafik antarabangsa pula naik 51.4 peratus berbanding 48.6 peratus untuk trafik domestik pada separuh pertama tahun 2024.
Trend ini seiring dengan norma prapandemik apabila trafik penumpang udara antarabangsa melebihi trafik penumpang udara domestik.
"Syarikat penerbangan sedang giat memulihkan laluan dan kekerapan antarabangsa sebagai tindak balas kepada perubahan dalam pilihan perjalanan pengguna ke destinasi antarabangsa ketika industri pelancongan global pulih daripada sekatan perjalanan ketika pandemik dulu," katanya.
Untuk bulan Jun 2024, trafik udara melonjak dengan ketara dengan jumlah penumpang menokok kepada 8.1 juta atau 12.1 peratus tahun ke tahun berbanding bulan Jun 2023 dan peningkatan sebanyak 2.3 peratus bulan-ke-bulan berbanding bulan Mei 2024.
"Kenaikan ini didorong oleh beberapa cuti umum dengan trafik penumpang udara domestik meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun kepada 4.1 juta pada bulan Jun 2024, berbanding 3.9 juta pada bulan Mei 2024," katanya.
Trafik penumpang udara ASEAN menunjukkan kadar pemulihan tertinggi iaitu sebanyak 93.3 peratus dengan 2.2 juta penumpang pada bulan Jun 2024.
Trafik kargo udara pada suku kedua tahun 2024 adalah sebanyak 241,895 tan metrik, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun berbanding 229,195 tan metrik pada separuh kedua 2023, didorong pergerakan kargo antarabangsa.
"Gangguan di Laut Merah telah mendorong pengeluar memilih kargo udara yang lebih pantas dan selamat," katanya.
Bagaimanapun, pergerakan kargo domestik mengalami trend yang bertentangan dengan penurunan sebanyak 20.3 peratus tahun ke tahun, jatuh daripada 73,035 tan metrik pada suku kedua 2023 kepada 58,176 tan metrik pada suku kedua 2024.
Pergerakan kargo udara pada suku kedua 2024 mencapai 102.9 peratus berbanding tahap prapandemik, dengan pergerakan kargo domestik dan antarabangsa masing-masing pada 119.8 peratus dan 98.5 peratus berbanding tahap prapandemik, katanya.
-- BERNAMA