KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) mengambil langkah segera dengan memperkasa program e-BizClinic bagi terus membantu dan membimbing para usahawan yang terkesan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh susulan pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, ia usaha membantu agar perniagaan mereka dapat bertahan dan terus beroperasi walaupun dalam kadar minimum.

"Usahawan perlu sentiasa merebut peluang serta inisiatif yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi, khususnya dalam kategori pembangunan usahawan.

"Tambahan pula, usahawan turut dinasihatkan untuk berusaha ke arah penyenaraian syarikat masing-masing dan mendapatkan konsultasi agar dapat dibimbing dalam mencapai objektif tersebut.

"Sesi konsultasi yang fleksibel ini dilaksanakan minimum selama 20 minit serta tiada penetapan had masa untuk usahawan berbincang mengenai masalah yang dihadapi.

"Usahawan digalakkan untuk mendapatkan maklumat serta bersoal jawab sebanyak yang mungkin agar matlamat mereka tercapai khususnya dalam memperbaiki dan memperkukuhkan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Sesi interaktif INSKEN platform usahawan bersama MEDAC - Wan Junaidi

BACA: 
E-Board tingkat keberkesanan perniagaan digital - Mas Ermieyati

INSKEN e-BizClinic merupakan inisiatif konsultasi percuma yang diberikan oleh BisKaunselor INSKEN kepada usahawan, bertujuan membantu, memperbaiki serta menambahbaik perniagaan mereka.

Usahawan akan dibimbing secara 'one-to-one' menerusi sesi dalam talian menggunakan platform bersesuaian yang boleh diakses kedua-dua pihak seperti Google Meet, Zoom dan WhatsApp Video Call.

Menerusi inisiatif ini, usahawan berpeluang berbincang bersama BisKaunselor bagi merangka tindakan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam perniagaan.

Selain itu, BisKaunselor juga akan memberikan panduan dan cadangan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi selain memberikan pendedahan dan informasi mengenai bantuan-bantuan perniagaan yang disediakan kerajaan.

Dalam pada itu, kata Muhd Firdaus, sejak 2020 sehingga hari ini, seramai 1,835 usahawan telah mendaftar serta menerima konsultasi percuma melalui sesi e-BizClinic.

Jelasnya, INSKEN juga mensasarkan lebih ramai lagi usahawan yang akan dibimbing melalui inisiatif ini dalam masa terdekat dan pada masa hadapan.

Maklumat lanjut mengenai Program e-BizClinic serta program latihan & bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad boleh diperolehi melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my.