Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat "Dr KGC Verghese" Hindustan Group of Institutions di Chennai, Tamil Nadu, sebagai pengiktirafan sumbangan beliau kepada industri penerbangan global.

Anugerah berkenaan dimulakan tahun lepas bagi memperingati pengerusi pengasas kumpulan, mendiang Dr KGC Verghese, pendidik teknikal yang berwawasan terutama dalam aeronautik dan kejuruteraan automobil yang juga memulakan perkhidmatan udara swasta pertama di India, Air Asiatic, pada awal 1990.

Fernandes, yang berada di Chennai untuk menerima anugerah itu, juga akan ke Cochin, Mumbai dan Delhi.

Laporan awal menyebut yang beliau akan menemui Menteri Penerbangan India Ajit Singh berhubung lesen penerbangan AirAsia India.

Lawatan berkenaan merupakan yang pertama bagi Fernandes selepas syarikat beliau menjalin pakatan dengan Tata Group dan Arun Bhatia of Telestra Tradeplace untuk melancarkan syarikat penerbangan tambang rendah melalui perkongsian 49:30:21.