Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, bakal dianugerahi Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia House bagi 2017 sebagai pengiktirafan di atas sumbangan beliau kepada landskap ekonomi Asia.

AirAsia dan Asia House dalam satu kenyataan bersama berkata, Fernandes akan menerima anugerah berprestij itu pada majlis makan malam gala di Hong Kong pada 27 November ini.

Menurut kenyataan itu, anugerah tersebut yang diberikan setiap tahun oleh Asia House, pusat kepakaran yang berpangkalan di London, memberi pengiktirafan kepada pemimpin perniagaan yang merangsang ekonomi positif dan perubahan sosial di rantau ini.

"Para pemenang sebelum ini termasuklah Pengerusi Hitachi, Hiroaki Nakanishi; Ketua Pegawai Eksekutif Temasek, Ho Ching; Pengerusi Tata Group, Ratan Tata dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak," kata kenyataan itu.

Di bawah kepimpinan Fernandes, AirAsia berkembang menjadi syarikat penerbangan tambang rendah utama di rantau ini, mengubah industri penerbangan Asia dan membolehkan berjuta-juta orang dapat menggunakan perkhidmatan penerbangan.

Pengerusi Asia House, Lord Green, berkata sebagai pusat kepakaran utama bagi perniagaan dan perdagangan Asia, penting bagi Asia House untuk mengiktiraf individu yang memberi sumbangan positif kepada landskap ekonomi Asia.

"Fernandes sentiasa menyokong Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) - satu semangat yang turut sama dikongsi oleh kami di Asia House," katanya.

Sementara itu, Fernandes berkata, ia merupakan satu penghormatan mendapat pengiktiaran atas usahanya memperjuangkan ASEAN.

"Saya salah seorang warga ASEAN. Saya percaya masa depan Asia Pasifik turut bergantung kepada ASEAN sama seperti ia bergantung kepada China atau India," katanya.

-- BERNAMA