KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan "Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua" dengan peruntukan sebanyak RM1.657 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagi tahun 2022 juga, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM600 juta perbelanjaan pembangunan dan RM40 juta untuk perbelanjaan bekalan air.

"Di bawah perbelanjaan mengurus, RM92.99 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.56 bilion untuk perbelanjaan bekalan iaitu RM264.84 juta untuk emolumen, RM244.47 juta bagi aset, RM1.032 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk lain-lain," katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM230 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi; RM664.71 juta bagi pemberian kepada jabatan kerajaan dan RM270 juta bagi program pelbagai perkhidmatan di bawah pejabat setiausaha kerajaan.

Di bawah perbelanjaan pembangunan pula katanya, sebanyak RM436.92 juta (72.82 peratus) diperuntukkan untuk sektor sosial antaranya merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam.

Selain itu RM137.28 juta (22.88 peratus) untuk sektor pentadbiran seperti teknologi maklumat dan RM25.8 juta (4.3 peratus) untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana.

"Bagi hasil pula, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.507 bilion iaitu sebanyak RM61.02 juta daripada hasil cukai, RM157.49 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.28 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk royalti petroleum," katanya.

Bagi menangani isu bekalan dan pemilikan rumah di negeri ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM24.4 juta untuk meneruskan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Redang, Bukit Gasing II, Gong Chengal II dan Tajin serta Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal dan Banggol Pauh.

Ahmad Samsuri berkata bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengelak insiden gangguan bekalan air berskala besar berulang, sebanyak RM40 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemasangan paip air retikulasi, penukaran paip-paip baharu serta kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan di seluruh negeri.

Prihatin akan nasib rakyat dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19, kerajaan negeri turut mengumumkan pelbagai bantuan bagi golongan terkesan antaranya bantuan i-Fitri bernilai RM400 kepada 31,500 isi rumah miskin dan RM250 kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 yang akan disalurkan menjelang raya nanti.

"Bantuan ini diharapkan dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan," katanya.

Ketika membentangkan belanjawan yang mengandungi lima teras, 22 objektif dan 147 inisiatif itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan bantuan tunai secara 'one-off' bernilai RM150 kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,500.

Bagi 8,900 orang kurang upaya daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah pula, mereka juga akan menerima bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150, katanya.

"Untuk menyokong kewangan golongan belia, dengan ini saya mengumumkan bantuan 'one-off' bernilai RM150 kepada 66,400 belia bujang berumur 18 hingga 39 tahun dan 21,800 orang mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah," katanya.

Selain itu seramai 3,000 peniaga kecil dan penjaja yang layak dan terjejas akibat pandemik COVID-19 akan menerima bantuan antara RM500 hingga RM1,000 sama ada dalam bentuk tunai atau peralatan.

Belanjawan tahun 2022 bagi Terengganu turut meliputi pemberian RM500 dalam bentuk tunai atau caruman tabung pendidikan kepada 70 pelajar yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa dan penjaga akibat COVID-19.

Selain itu kira-kira 14,000 penjawat awam negeri akan menerima bonus bernilai RM700 sebagai menghargai jasa mereka yang telah menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada rakyat.

-- BERNAMA