KUALA LUMPUR: Malaysian Deepwater Floating Terminal (Kikeh) Limited (MDFT), syarikat usaha sama antara MISC Bhd dan SBM Holdings Inc SA (SBM), memperoleh lanjutan bagi kontrak carter kemudahan penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) Kikeh.

Dalam kenyataan pada Isnin, MISC menjelaskan MDFT telah menandatangani perjanjian dengan PTTEP Sabah Oil Limited (PTTEP) baru-baru ini bagi lanjutan kontrak carter FPSO Kikeh selama enam tahun bermula Januari 2022 hingga Januari 2028.

FPSO Kikeh, dibangunkan pada 2007, merupakan FPSO perairan laut dalam pertama dan terbesar di Malaysia dan Asia.

"FPSO ini boleh mengeluarkan 120,000 tong minyak sehari dan mempunyai kapasiti penyimpanan dua juta tong minyak," jelasnya.

MISC dan SBM masing-masing memiliki 51 peratus dan 49 peratus kepentingan dalam MDFT.

-- BERNAMA