Syarikat dan koperasi tidak seharusnya bersaing sesama sendiri sebaliknya perlu mewujudkan pakatan strategik bagi memajukan perniagaan dan sekaligus membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara.

Persaingan sedemikian, tegas Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, bukan hanya merugikan tetapi turut menjejaskan matlamat serta sasaran kerajaan melahirkan koperasi dan syarikat yang serba maju.

Malah, katanya, ia boleh mencetuskan pelbagai masalah lain dalam perniagaan termasuk perpecahan.

"Ada baiknya anggota lembaga pengarah koperasi dan syarikat duduk semeja berbincang mengendalikan perniagaan secara pakatan strategik supaya lebih maju dan bersaing secara sihat yang turut membantu meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Peserta Felcra Jaya Putera Jerantut Berhad Kali Ke-15 di Kampung Ulu Cheka Jerantut, dekat sini, pada Khamis.

Abdul Fattah berkata, pakatan strategik syarikat-koperasi itu juga boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.

Ini disebabkan syarikat berupaya menjalankan pelbagai perniagaan yang nilainya mencecah jutaan ringgit kerana memiliki modal besar berbanding koperasi yang modal dan kegiatannya adalah terhad.

"Menerusi pakatan tersebut, ia secara langsung membolehkan kedua-dua pihak dapat mengenal pasti projek yang boleh dilaksanakan secara persendirian atau usaha sama," katanya.

Selain itu, Abdul Fattah menganggarkan sasaran pusingan perniagaan koperasi bagi tahun ini meningkat sebanyak RM38 bilion hingga RM40 bilion berbanding RM35 bilion pada tahun lepas.

Sehingga akhir tahun lepas sebanyak 12,000 koperasi telah ditubuhkan dengan anggotanya seramai lapan juta orang dan nilai aset terkumpul RM112 bilion.