KUALA LUMPUR: Sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada ekonomi Malaysia, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan PMKS juga mengatasi KDNK Malaysia iaitu 3.6 peratus pada 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama yang merangkumi 84.8 peratus daripada KDNK PMKS.

"Sektor pertanian menyumbang 9.1 peratus kepada KDNK PMKS, diikuti oleh sektor pembinaan (4.5 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (0.5 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan meningkat 6.5 peratus pada 2023 berbanding 17.2 peratuspada tahun sebelumnya.

"Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam subsektor utama, iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan (5.7 peratus); kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.3 peratus); dan pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi (10.6 peratus).

Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 1.5 peratus (2022: 6.0 peratus) dan dipengaruhi oleh pertumbuhan positif dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (5.0 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.3 peratus).

Nilai ditambah PMKS dalam sektor pertanian meningkat 1.3 peratus pada 2023, lebih tinggi daripada pertumbuhan 0.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi ini disokong oleh subsektor getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain (1.8 peratus) danperikanan (0.5 peratus).

Sementara itu, nilai ditambah PMKS bagi sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing turut berkembang 5.8 peratus (2022: 5.0 peratus) dan 4.9 peratus (2022: 10.7 peratus).

Dari perspektif perdagangan luar negeri, Mohd Uzir berkata eksport PMKS berjumlah RM152.2 bilion dengan dengan pertumbuhan 4.5 peratus pada 2023, lebih perlahan berbanding 17.2 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata guna tenaga PMKS terus mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2022, untuk merekodkan sejumlah 7.86 juta orang berbanding 7.59 juta orang pada 2022.

"Sehubungan itu, sumbangan guna tenaga PMKS kepada guna tenaga Malaysia pada 2023 adalah 48.5 peratus, meningkat 0.3 mata peratus berbanding 48.2 peratus pada 2022," katanya.

-- BERNAMA