IPOH: Kafe Shake & Bake menyasarkan kesemua cawangannya memiliki sijil halal dalam masa terdekat untuk membolehkan menu mampu milik mereka dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di negara ini.

Pengurus Besar Atlanta Group Sdn Bhd (Atlanta Group) Branden Soh berkata langkah itu selaras dengan pelebaran sayap kumpulan tersebut melalui pembukaan tiga cawangan di Lembah Klang dan beberapa negeri lagi yang sedang dalam perancangan.

“Semua permintaan mengikut peraturan permohonan telah kita patuhi dan semua boleh menikmati menu kami tanpa rasa ragu-ragu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Mega 9.9 Lucky Draw di cawangan Shake & Bake, di sini.

Katanya mempunyai sijil halal amat penting dan kosnya munasabah serta memberikan nilai tambah tinggi dengan memiliki sijil tersebut.

Branden berkata selain cawangan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, Shake & Bake turut mempunyai cawangan di Quill City Mall, Kuala Lumpur yang telah dibuka Mac lepas.

Katanya dua cawangan lagi bakal dibuka di Atrium, Damansara dan SS15, Subang Jaya yang dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

Selain produk bakeri dan kek, Shake & Bake turut menawarkan menu tempatan seperti mi kari dan lain-lain.

-- BERNAMA