Minat terhadap pelaburan saham di Bursa Malaysia kini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan generasi muda bumiputera.

Semakin ramai golongan itu menceburi minat bermain saham kerana potensi pulangan yang tinggi dalam bidang itu untuk jangka panjang.

Bezanya dengan pelabur di sekitar era 90-an, pelabur muda kini lebih cenderung untuk belajar bermain saham dengan cara yang betul menerusi panduan saham yang betul.

Menurut Nazarry Rosli, salah seorang mentor pelaburan saham yang mengendalikan kursus analisa saham di ibu negara , pelabur dahulu melabur hanya dengan mendengar tips tanpa sebarang ilmu pengetahuan.



Pada waktu itu katanya kebanyakan mereka tidak mengetahui bahawa untuk bermain saham memerlukan ilmu dan panduan yang khusus.

"Pelabur-pelabur zaman dahulu dalam tahun 90 an tahun 2000, mereka melabur hanya dengan mendengar tips.

"Dengar sahaja saham yang patut dibeli mereka beli tanpa pengetahuan mengapa mereka menjual beli sesuatu saham itu. Tapi apa yang saya dapati....akan berlaku keuntungan tetapi kadang-kadang rugi dan pelabur tak tau kenapa mereka untung..kenapa mereka rugi," katanya lagi.

Ujar Nazari lagi, melabur tanpa pengalaman dan ilmu akan mendorong kepada lebih banyak kerugian.

Ini terbukti apabila masih ada pelabur baru dan lama menemui kegagalan melabur di bursa saham kerana melakukan jual beli secara membabi buta gara-gara tidak mempunyai ilmu secukupnya sebelum membuat urusan dagangan.

"Tetapi sekarang ni saya seronok dan saya suka dan selesa melihat generasi muda. Mereka memahami konsep atau langkah yang perlu diambil, iaitu apabila mereka berminat melabur, mereka akan melabur di dalam ilmu dahulu. Mereka sanggup mengeluarkan wang ringgit, membayar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan terlebih dahulu sebelum melabur di dalam pasaran," katanya lagi.

Tegasnya apabila mereka memiliki ilmu pelaburan yang cukup, tidak akan timbul isu kerugian dalam bermain saham , kerana mereka telah lebih bersedia.

Beliau yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam dunia pelaburan memberitahu hampir separuh daripada pelajar di kelasnya adalah mereka yang berusia 30 tahun dan ke bawah.

Di dalam kelas itu Nazari mengajar mereka teknik-teknik terbaik untuk memilih saham yang betul dan membeli pada waktu yang sesuai.

Dia memberitahu, pelajar-pelajarnya akan didedahkan dengan ilmu menganalisa sentimen pasaran termasuklah fundamental dan teknikal.

Hakikatnya seorang pelabur saham perlu memiliki ilmu dan panduan saham yang betul untuk mengelak risiko kerugian yang tinggi.

Mereka juga perlu meningkatkan pengetahuan daripada segi analisis teknikal sebelum menceburi pasaran saham.