PETALING JAYA: Sebahagian besar isu dalam laporan Ranking Daya Saing Dunia 2024 yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) telah diselesaikan pada suku pertama tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu utama dalam laporan Ranking Daya Saing Dunia 2024 oleh IMD, seperti pelaksanaan penyasaran subsidi, telah diselesaikan pada suku pertama tahun ini.
  • Walaupun menghadapi kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas, terdapat peningkatan dalam suku pertama tahun ini. Kerajaan akan meneliti semua isu dalam laporan tersebut secara terbuka dan bekerja lebih pantas untuk memperbaiki kelemahan.
  • Malaysia jatuh ke tangga ke-34 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 dan ke-10 daripada 14 negara di Asia Pasifik, disebabkan faktor kelemahan ringgit dan penggunaan data 2023. Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan penurunan ini dalam konteks data yang digunakan.


Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan ialah berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi dan perkara itu telah ditangani kerajaan.

Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan meneliti semua isu termasuk setiap kekuatan dan kelemahan dalam laporan itu secara terbuka serta memberi jaminan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk memperbaikinya.

Selain penyasaran subsidi, turut dibangkitkan ialah isu ringgit, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata meskipun begitu, sememangnya terdapat penambahbaikan dalam semua perkara yang dibangkitkan oleh laporan tersebut.

"Kedua ialah kelemahan ringgit, tahun lalu diakui masalah ringgit yang mencabar tetapi suku pertama tahun ini sudahpun ada peningkatan.

"Syukur alhamdulillah kerana beberapa teguran itu (telah) diambil kira dan (susulan) semua itu, kerajaan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaikinya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini, pada Jumaat.

Hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penurunan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara daripada tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

Malaysia juga turun empat anak tangga ke kedudukan 10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut laporan sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

-- BERNAMA