KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 4 petang, Jumaat ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

RUU itu adalah bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024.

Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 bagi peringkat dasar dari 16 hingga 26 Okt dan peringkat jawatankuasa bermula 6 hingga 27 Nov.

Selain itu, Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023 turut dibentangkan bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

-- BERNAMA