KUALA LUMPUR: Wakaf R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) akan diperkenal untuk menggalakkan sumbangan syarikat dan individu dalam aktiviti Penyelidikan & Pembangunan dan Pengkomersialan & Inovasi (R&D&C&I) sebagai langkah untuk mengoptimumkan potensi aktiviti tersebut dan mempercepat kemajuan teknologi.

Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, bagi merealisasikan rancangan itu, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) akan distruktur semula dan diperkasa sebagai agensi tunggal yang diberi mandat untuk mengurus peruntukan dana awam untuk program dan projek R&D&C&I.

“Di samping itu, pembiayaan penyelidikan akan diselaras mengikut tahap ketersediaan teknologi dan ekosistem dan dasar sedia ada akan disemak semula, untuk meningkatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam aktiviti R&D&C&I tempatan serta pembangunan bakat.

“Program baucar secara perkongsian kos akan diperkenal bagi membolehkan graduan kedoktoran mengkomersialkan hasil kajian melalui penubuhan syarikat pemula,” menurut laporan itu.

Sementara itu, dalam usaha bagi melonjakkan penerimagunaan teknologi termaju, Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing Global Innovation Index (JIPGII) akan ditubuhkan bagi memantau dan mencadangkan langkah intervensi untuk menambah baik ekosistem inovasi.

Laporan itu menyatakan JIPGII merupakan salah satu cara untuk meningkatkan prestasi petunjuk utama terpilih di bawah Indeks Inovasi Global (GII), seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang mengukur tahap literasi bacaan, matematik dan sains serta enrolmen dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) pada peringkat tertiari akan diberi keutamaan.

“Tumpuan akan diberikan untuk membangunkan kumpulan bakat STI (Sains, Teknologi & Inovasi) yang mencukupi dan kompeten bagi meningkatkan inovasi serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan.

“Bagi tujuan ini, kolaborasi strategik dengan pihak berkepentingan berkaitan akan diperkukuh, bagi membolehkan penilaian yang menyeluruh serta mengenal pasti keperluan bakat STI secara berkesan,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan usaha akan dipergiat untuk merealisasikan idea kepada produk dan perkhidmatan, dengan memanfaatkan peranan pemecut pengkomersialan
teknologi dalam menyatukan pihak berkepentingan utama, termasuk syarikat pemula.

-- BERNAMA