KUALA LUMPUR: Pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM301 bilion setahun pada harga semasa, disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada merentas sektor utama ekonomi yang lebih cepat.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, usaha akan dipergiat untuk menggalakkan pelaburan berkaitan teknologi dalam industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV), termasuk elektrik dan elektronik, pertanian pintar dan tenaga boleh baharu (TBB).

Di samping itu, firma akan digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dalam mesin dan peralatan bagi mengembangkan kapasiti dan produktiviti.

Selain itu, inisiatif pelaburan sedia ada akan disemak semula untuk menarik pelaburan berkualiti yang menggunakan teknologi terkedepan dan menawarkan pemindahan teknologi, tambahnya.

Laporan itu memaklumkan sektor swasta akan digalakkan untuk mempergiat pelaburan hijau dalam operasi dan premis perniagaan, termasuk untuk pembangunan dan penggunaan sumber TBB.

Inisiatif ini akan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, terutama yang memberi tumpuan kepada teknologi termaju, menurut laporan itu.


Pelaburan awam dijangka RM83 bilion setahun

Pelaburan awam dijangka berkembang sebanyak 3.9 peratus setahun atau purata RM83 bilion setahun pada harga semasa disumbang oleh perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan modal oleh perusahaan awam bukan kewangan.

Laporan itu menambah, kerajaan akan terus melaksanakan program dan projek bagi meningkatkan keupayaan produktif ekonomi.

Projek ini termasuk pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang baharu di Kimanis dan Kota Belud, Sabah serta Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis, serta peluasan Taman Teknologi Tinggi Samajaya di Sarawak dan Taman Perindustrian Tok Bali di Kelantan, di samping pembinaan Central Spine Road dan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), menurutnya.

-- BERNAMA