HARI ini, segala fokus kita tertumpu kepada pemulihan ekonomi supaya kesan pandemik dapat dibendung.

Namun, kemerdekaan 64 tahun jelas mengajar kita bahawa tidak kurang pentingnya adalah pembangunan bangsa, sosio-ekonomi dan perpaduan dalam semua aspek untuk menjayakan kesemua aspirasi negara.

Masyarakat yang berpecah belah mengurangkan keberkesanan perancangan Kerajaan. Kegusaran yang timbul akibat pertumbuhan tidak sekata bagi pelbagai sektor dan antara strata sosial yang menyebelahi satu kumpulan pendapatan tinggi hanya bakal meruntuhkan kepercayaan terhadap Kerajaan. Dalam erti kata lain, yang kaya semakin kaya, yang merintih, semakin terkesan.

Fokus Kerajaan memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi Malaysia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui RMK-12 amat dialu-alukan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan bahawa RMK 12 akan memberi kepentingan termasuk meningkatkan pendapatan, melenyapkan kadar kemiskinan di negara ini dan mengurangkan jurang pembangunan diantara negeri dan wilayah.

Untuk manfaat semua, adalah penting Kerajaan meletakkan Malaysia pada ekonomi yang lebih kukuh bertapak dan membina ekonomi yang lebih kompetitif. Ini sebenarnya memerlukan seluruh Negara bergabung tenaga bersatu hati untuk memulihkan serta membangunkan semula negara.

Everyone must buy into this concept of healing the Nation regardless of political divide.

Untuk tujuan itu, Kerajaan perlu mengambil ikhtibar aspek komunikasi dalam menjalankan semua perancangan dan kempen seluruh negara.

Komunikasi adalah aspek penting memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dan tersasar atau tercicir dalam senario pemulihan Negara dari semua segi – Ekonomi. Pendidikan. Keselamatan.

Adalah penting juga kita mempercepatkan penerima-gunaan teknologi termaju dan pendigitalan dan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi dalam semua sektor.

Perkara ini amat penting, terutamanya dalam sektor komunikasi lebih-lebih lagi apabila organisasi dilanda krisis yang memberi kesan negatif kepada jenamanya.

Dengan pertumbuhan teknologi yang pesat, adalah amat penting untuk sesebuah organisasi memastikan penyampaian maklumat menjadi priority.

Satu lagi aspek yang amat penting dalam pembangunan lestari Negara adalah jatidiri yang dapat diperkukuhkan melalui seni dan budaya. Budaya Malaysia kini tidak jelas dan rakyat tidak sehaluan.

Kini, 50 tahun setelah Kongres Budaya Kebangsaan 1971, kita masih mempersoalkan kejayaan Dasar Budaya Nasional kita untuk membangunkan Negara secara holistik.

Seni dan budaya adalah warisan paling berharga bagi Negara. Melalui legasi ini, kita dapat menyerlahkan visi yang lahir dari naluri untuk membimbing kita sebagai sebuah bangsa. Tanpa Visi ini, nilai-nilai masyarakat pasti luput dan bangsa akan hilang ditelan zaman.

Budaya, tradisi dan bahasa adalah asas jati diri kita. Dalam mengejar arus pembangunan, jangan sesekali kita biarkan asas ini binasa.

Di saat ini, kita juga perlu mempersoalkan akibat dan kerugian yang kita alami dari dasar Pendidikan yang terlampau berorientasikan Sains dan Matematik dan membelakangkan seni dan budaya.

Sektor Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Industri Kreatif dan perfileman, sektor retail, sektor pemakanan, industri kreatif semuanya memerlukan ekosistem kreatif yang diterajui seni dan budaya.

Pada masa yang sama, sistem perkhidmatan mestilah telus dan terbuka. Kerajaan begitu fokus untuk membantu usahawan dalam meningkatkan GDP Negara namun mestilah ada pemantauan across the board supaya agensi kerajaan terus profesional dan beretika.

Kita masih melihat situasi usahawan dibayar lewat dan sentiasa tertekan untuk mengurangkan fee dan bayaran.

Pembatalan kontrak kerana masalah dalaman juga berlaku. Proses perolehan yang tidak adil dan tidak beretika mesti dihentikan jika berlaku dengan leluasa.

Kesemua ini merupakan masalah yang boleh membunuh pembangunan ekonomi usahawan jika tidak dipantau dengan baik.

Konsep Keluarga Malaysia yang dijelaskan oleh Perdana Menteri boleh merealisasi idea Wawasan Kemakmuran Bersama kepada rancangan tindakan yang konkrit.

Komunikasi yang baik, merakyatkan Kerjaya Kreatif dan Kekuatan Jatidiri adalah penting untuk menghapuskan kemelut perbezaan antara rakyat demi perpaduan bersama tanpa mengabaikan penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi.



* Profesor Mohd Said Bani C M Din ialah Founding Managing Director, bzBee Consult Sdn Bhd

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.