KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar US hari ini, menjelang pengumuman minit mesyuarat September, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) malam ini, yang akan menawarkan kejelasan mengenai trajektori pemotongan kadar faedahnya.

Pada 6 petang , mata wang tempatan meningkat kepada 4.2800/2830 berbanding dolar US daripada 4.2850/2895.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata titik data seterusnya yang perlu diperhatikan ialah indeks harga pengguna (IHP) AS esok, yang dijangka menyederhana kepada 2.3 peratus pada September berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.5 peratus. "Sementara itu, peniaga dan pelabur dijangka kekal berhati-hati apabila Fed mempertimbangkan pendekatan pelonggaran monetarinya," beliau memberitahu Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.6939/6972 daripada 4.7079/7129, lebih baik berbanding yen Jepun pada 2.8792/8815 daripada 2.8988/9022 dan menokok berbanding pound British kepada 5.6012/6052 daripada 5.6108/6167.

Ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.2822/2848 daripada 3.2876/2913 yang disaksikan pada Rabu dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.52 daripada 7.53/7.54.

Ia lebih lemah berbanding baht Thailand pada 12.8010/8157 daripada 12.7933/8129 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 273.8/274.1 daripada 273.6/27 274.1.

-- BERNAMA