KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa selepas Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Perkhidmatan Caixin, China gagal menepati jangkaan dengan margin yang luas, sekali gus mempengaruhi pasaran risiko tempatan, kata penganalisis.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata yuan adalah lemah justeru, telah mengheret turun ringgit.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.6615/6655 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6575 ketika ditutup pada Isnin.

Beliau berkata selain itu, dolar AS semakin kukuh di seluruh papan apabila sentimen risiko global tidak menentu, dengan inflasi dijangkakan meningkat selepas harga minyak mentah mencecah paras tertinggi 2023 dalam tempoh semalaman.

"Walaupun harga minyak mentah yang lebih tinggi lazimnya memberi kelebihan kepada ringgit namun perkara itu tidak berlaku jika ia mendorong hasil bon AS menjadi lebih tinggi. Tiga ekonomi Asia iaitu Korea Selatan, Filipina dan Thailand, mencatatkan bacaan inflasi lebih tinggi berbanding jangkaan berikutan harga minyak meningkat, dan itu juga telah membimbangkan pelabur," katanya kepada Bernama.

IPP Perkhidmatan China merosot kepada 51.8 pada Ogos, berbanding pengembangan 54.1 pada Julai.

Pada penutupan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 5.0088/0131 daripada 5.0230/0273 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding pound British kepada 5.8534/8585 daripada 5.8774/8824.

Ringgit juga tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1670/1699 daripada 3.1786/1818 semalam.

Pada masa sama, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean lain.

Mata wang tempatan kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4238/4272 daripada 3.4361/4393 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1388/1567 daripada 13.2089/2259.

Bagaimanapun, mata wang tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 305.2/305.6 daripada 305.2/305.7 selain tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.21 daripada 8.21/8.23.

-- BERNAMA