KUALA LUMPUR: Rringgit memulakan urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh ketika persepsi mengenai potensi pengurangan kadar faedah utama yang lebih agresif kian mereda, kata ahli ekonomi.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan meningkat berbanding mata wang utama lain pada pagi ini.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan rendah di paras 4.3285/3390 berbanding dolar AS daripada 4.3270/3325 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan Indeks Harga Pengguna AS menunjukkan inflasi negara maju itu masih ketara, sekali gus menjejaskan harapan melihat pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan pengurangan kadar faedah secara agresif pada minggu depan.

Indeks Harga Pengguna teras meningkat 0.3 peratus bagi bulan ke bulan pada Ogos yang turut mengatasi unjuran ramai sebanyak 0.2 peratus.

Mohd Afzanizam berkata peningkatan itu juga memaparkan pergerakan secara berterusan daripada 0.1 peratus pada Jun dan 0.2 peratus pada Julai.

Sebahagian besar keadaan itu disebabkan oleh kadar inflasi lebih tinggi dalam pasaran perumahan terutama berkaitan sewaan perumahan yang menyumbang 26.8 peratus daripada jumlah indeks itu.

"Ini menunjukkan Fed berkemungkinan tidak melaksanakan pengurangan kadar faedah yang ketara dan membawa kepada hasil Perbendaharaan AS jangka pendek yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

Selain itu, nota Perbendaharaan AS dua tahun pula menghasilkan 3.0 mata asas lebih tinggi manakala Indeks Dolar AS (DXY) menokok 0.05 peratus kepada 101.684 mata.

Bersandarkan data itu, dolar AS berkemungkinan mengukuh berbanding mata wang lain dan ringgit dijangka bergerak sekitar RM4.33 hari ini.

Dalam sesi awal hari ini, ringgit diniagakan meningkat berbanding euro kepada 4.7657/7772 daripada 4.7774/7835, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6435/6572 daripada 5.6623/6695 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0350/0426 daripada 3.0558/0599.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN iaitu mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8024/8422 daripada 12.8523/8752 semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3176/3259 daripada 3.3223/3268.

Namun, nota tempatan itu susut berbanding rupiah Indonesia kepada 280.9/281.8 daripada 280.8/281.4 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.76 daripada 7.73/7.75.

-- BERNAMA