KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS apabila dolar AS mengukuh didorong data ekonomi AS yang lebih baik dan ini memungkinkan kadar faedah AS untuk kekal lebih tinggi dalam tempoh yang lama.

Data tuntutan pengangguran awal mingguan AS yang berakhir pada 24 Jun turun kepada 239,000 tuntutan baharu, mengatasi unjuran penganalisis sebanyak 265,000 sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak naik kepada dua peratus berbanding 1.3 peratus sebelum ini.

Pada 9 pagi, unit tempatan menyusut nilai kepada 4.6835/6895 berbanding dolar AS daripada 4.6705/6740 pada penutup hari Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti Hari Raya Aidil Adha.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dijangka bergerak lemah hari ini berikutan data tuntutan pekerjaan AS yang kukuh daripada jangkaan dan ini akan menyokong kenaikan faedah pada Julai dan bulan-bulan seterusnya.

Beliau berpendapat peniaga pertukaran asing (FX) cuba menentukan berapa banyak lagi kadar yang perlu dinaikkan dalam setiap "bidang kuasa".

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 5.0928/0994 daripada 5.1128/1166 pada penutupan dagangan Rabu, menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2338/2382 daripada 3.2427/2454 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9101/9177 daripada 5.9292/9336 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4549/4599 berbanding 3.4550/4581 pada Rabu dan lebih tinggi kepada 8.43/8.46 berbanding peso Filipina daripada 8.45/8.46.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding rupiah Indonesia pada 312.3/312.9 daripada 311.4/311.9 dan lemah berbanding baht Thai kepada 13.1382/1606 daripada 13.1054/1211 sebelumnya.

-- BERNAMA