Siri jelajah penuh makna ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat utama Sunway, #SunwayforGood, yang bertujuan untuk menyantuni kehidupan komuniti kurang bernasib baik di seluruh negara termasuk Johor, Perak, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu semasa bulan Ramadan yang mulia.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Razman M. Hashim berkata, program yang merangkumi lima buah negeri itu turut dimeriahkan lagi dengan penampilan selebriti tempatan dan kerjasama rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan misi menyumbang kembali kepada lebih 4,000 golongan kurang berkemampuan.
"Sinar Ramadan Sunway kini ke hentian keempatnya di Selangor dan berada pada landasan yang betul untuk mencapai hampir 4,000 penerima manfaat yang kurang bernasib baik di seluruh negara menjelang akhir bulan ini.
“Dan inilah yang kita lakukan bukan sahaja untuk Raya atau Ramadan, setibanya Tahun Baru Cina, Deepavali, dan Krismas, kami melakukan perkara yang sama dan ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya Sunway,” katanya selepas majlis berbuka Sinar Ramadan 2024 yang berlangsung di Rumah Amal Raudhatul Jannah, di Kuala Langat, Selangor.
Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan acara itu bersama Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M. Hashim serta rakan-rakan dari Yayasan AIDS Malaysia, Yayasan Kebajikan Malaysia dan Komuniti Belia Selangor.
Baginda juga berkesempatan menyempurnakan sesi penyerahan kotak makanan #SunwayforGood kepada rumah kebajikan terlibat.
Dianjurkan dengan kerjasama Komuniti Belia Selangor (SAY), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), siri #SunwayforGood Sinar Ramadan di Selangor juga menampilkan chef selebriti Datuk Ismail dan penyanyi terkenal dari Akademi Fantasia, Bob Yusof, yang kedua-duanya merupakan Selebriti Sokongan Riben Merah MAF.
Para tetamu dan sukarelawan turut terlibat dalam pelbagai aktiviti dengan kanak-kanak dari Rumah Amal Raudhatul Jannah, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, dan Sekolah KAFA Integrasi As-Syariff.
Ia termasuk sesi pembuatan kraf, khatam al-Quran, pemberian barangan keperluan, duit raya, dan hadiah raya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman turut menyambut baik usaha murni Kumpulan Sunway dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik di bulan mulia ini.
“Sudah tentunya kepada syarikat-syarikat korporat lain yang berjaya boleh mengikuti jejak langkah syarikat seperti Sunway untuk menganjurkan program yang menyumbang kembali kepada masyarakat iaitu secara tidak langsung dapat membantu mereka memerlukan.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Sunway dalam inisiatif ini, dan kami berharap untuk melakukan lebih banyak lagi seterusnga menjadi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan serta kerjasama jangka masa panjang,” katanya.
#SunwayforGood Sinar Ramadan akan diteruskan ke hentian terakhirnya di Dungun, Terengganu yang akan berlangsung di Baitul Cakna Lelaki Jambu Bongkok, sebelum berakhir dengan Rumah Terbuka Raya di Hotel Resort Sunway pada 24 April 2024.
Dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Hajah Norashikin, #SunwayforGood bakal menyantuni lebih daripada 300 kanak-kanak dari beberapa rumah anak yatim dengan persembahan, permainan, dan hidangan bufet hotel yang lazat.