KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd melantik Roslan Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya berkuat kuasa 1 Jan, 2022.

Sebelum ini Roslan merupakan Naib Presiden bahagian Pemasaran dan Jualan untuk Proton dan juga sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Proton Edar Sdn Bhd (PESB), sejak 1 Jun 2020.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Kewangan dan Perakaunan dari Universiti Brighton, United Kingdom dan mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam bidang automotif, kata Proton dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Li Chunrong berkata Roslan telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pengurusan Proton dan memberi panduan kepada pengurusan keseluruhan perniagaan, khususnya dengan pengukuhan fungsi bahagian pemasaran dan jualan.

"Saya yakin kita mampu menjalinkan kerjasama yang erat untuk memacu syarikat ke arah kejayaan," katanya.

Sementara itu, Chunrong berkata Proton turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Radzaif Mohamed, yang telah bersara sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada 31 Dis, 2021.

"Proton ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Radzaif Mohamed untuk segala sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sehingga kami mencapai kejayaan.

"Kepentingan untuk mendapatkan sesuatu perkara itu secara tepat semasa bermulanya perkongsian dengan Geely amat kritikal dan mustahak dalam memastikan proses pembaharuan syarikat sehingga kini dan kepimpinannya dalam tempoh berkenaan tidak ternilai harganya," katanya.

-- BERNAMA