Kerajaan disaran mewajibkan institusi kewangan meneruskan moratorium pinjaman untuk enam bulan lagi secara automatik kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM) Abd Azharee Abdul Wahid berkata, tempoh itu adalah relevan memandangkan ekonomi dijangka kembali rancak pada penghujung tahun 2021.

“Di peringkat PKS kita mengharapkan Kerajaan terutamanya Bank Negara dapat berbincang dengan pihak bank kalau boleh mengikut perkiraan yang perlu dilakukan agar moratorium diteruskan sekali lagi sekurang-kurangnya enam bulan lagi, ini kerana ia dapat membantu kami mengawal aliran tunai.

“Kami bukan minta perkara ini selalu dan ia berlaku ketika krisis sahaja.., maka kita minta Kerajaan berbincang dengan bank, walaupun kita faham pihak bank ada cabarannya tersendiri apabila moratorium dilaksanakan dari segi pendapatan dan sebagainya.. tetapi kita ketika ini sedang berperang dengan krisis dan diharapkan kita saling bantu membantu, kerajaan perlu bantu bank, bank bantu PKS juga,” jelasnya ketika ditemubual di program Realiti Rakyat di AWANI Pagi.


Dalam pada itu, Abd Azharee juga menggesa pengusaha PKS ketika ini mengambil jalan untuk bertemu dengan pihak bank dengan lebih awal bagi mencari jalan sekiranya moratorium tidak dilanjutkan.

Jelas beliau, apa yang penting adalah PKS perlu sentiasa peka dengan prosedur bank.

“Pertamanya saya minta PKS untuk berjumpa dengan bank sebagai inisiatif menguruskan hutang dengan bank supaya ia dapat membantu dan mengelakkan pengusaha terlibat dengan CCRIS apatah lagi bankrap.

“Jumpa secepat mungkin jangan tunggu habis moratorium baru nak jumpa, hubungi pegawai bank dan berbincang semula supaya dapat menyusun semula hutang.

“Paling penting jaga aliran tunai anda dan utamakan urusan dalaman pasukan pekerja, pembekal dan membuat rundingan yang baik,” katanya lagi.



Dalam masa yang sama, jika tempoh moratorium pinjaman tidak dilanjutkan oleh institusi kewangan, Abd Azharee berkata, pengusaha PKS boleh melihat kepada alternatif lain seperti platform pendanaan ramai (crowdfunding) untuk merancang semula aliran tunai perniagaan.

Tambah beliau lagi, krisis COVID-19 merupakan peringatan ('wake up call') kepada usahawan mikro yang terjejas teruk akibat tidak mendaftarkan perniagaan mereka sekaligus tidak menerima bantuan diumumkan kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi.

Justeru, Abd Azharee berkata, usahawan PKS terutama usahawan mikro perlu mengadaptasi prosedur terbaik dalam berniaga seperti mempunyai lesen, membuat pengiystiharaan pendapatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya agar capaian bantuan yang diberikan oleh Kerajaan dapat diberikan dengan lebih meluas.