PESAWAT Airbus A330neo baharu milik syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bakal menakluki ruang udara Asia Pasifik tidak lama lagi.

Terbaharu, AirAsia menyiarkan foto dan gambaran pesawat pertama A330neo mereka yang telah siap proses mengecat di kilang Airbus di Toulouse, Perancis.

-
Airbus A330neo AirAsia ketika dalam proses mengecat di kilang Airbus di Toulouse, Perancis - Foto Airbus / A.Doumenjou

Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata, pesawat baharu berkenaan dijangka memulakan perkhidmatan pada lewat Jun 2019, dan seterusnya bakal menjadi pesawat Airbus A330neo pertama beroperasi di rantau ini.

Pesawat tersebut akan berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok dan akan dikendalikan oleh syarikat jarak jauh AirAsia, AirAsia X Thailand.



AirAsia X ketika ini merupakan pelanggan terbesar bagi pesawat A330neo apabila tambahan tempahan sebanyak 34 buah pesawat dibuat pada Julai 2018, di samping tempahan awal sebanyak 66 buah pesawat, menjadikan jumlah keseluruhan 100 buah pesawat A330neo.

Kesemua pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X adalah model A330-900, model yang besar berbanding pesawat A330neo yang lain.

Pesawat A330neo direka untuk beroperasi dengan cekap dan baik bagi penerbangan serantau dan jarak jauh.

Pesawat ini berkeupayaan untuk terbang dalam jarak jauh, dan boleh terbang sejauh 7,250 batu nautika untuk A330-900.

-
Airbus A330neo AirAsia di kilang Airbus di Toulouse, Perancis - Foto Airbus / A.Doumenjou

Enjin Rolls-Royce Trent digunakan A330neo mampu menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak 25 peratus berbanding model lama terdahulu.

Ini sekaligus membenarkan AirAsia X keupayaan untuk mengendalikan perkidmatan tanpa henti yang jaraknya lebih jauh seperti ke Eropah dengan kos operasi yang lebih rendah serta tambang yang kompetitif.

AirAsia bakal menerima beberapa lagi unit A330neo menjelang suku keempat 2019.