Perodua Axia 2019 kini dibuka untuk tempahan dengan harga tentatif bermula dari RM24,090 hingga RM43,190 (di atas jalan dan sebelum insurans bagi Semenanjung Malaysia).

Model kenderaan paling mampu milik di Malaysia itu ditawarkan dalam enam varian - E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE - dilengkapi ciri keselamatan canggih.

Ia menggunakan enjin kuasa 1.0 litre 1KR-VE dengan 'variable valve timing', disambung kepada transmisi manual lima kelajuan pada varian E, dan transmisi empat kelajuan automatik kawalan elektronik pada semua varian yang lain.

Menurut satu kenyataan hari ini, Perodua kini menerima tempahan bagi Perodua Axia 2019 hatchback segmen-A yang telah diperbaharui untuk menawarkan rakyat Malaysia lebih nilai dan lebih gaya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata Bantuan Keselamatan Termaju (ASA) 2.0, iaitu suite untuk bantuan keselamatan pemandu yang julung kali dipasang pada SUV tujuh tempat duduk Aruz pada Januari, turut dipasang pada varian AV Axia, menjadikannya kereta dengan ciri itu yang paling mampu di Malaysia.




ASA 2.0 dilengkapi Pengesanan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pelepasan Depan dan Kawalan Silapoperasi Pedal.

"Dengan memasang ASA 2.0 pada Perodua Axia 2019, kami membawakan teknologi keselamatan termaju kepada orang ramai, sama seperti apa yang kami lakukan pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

"Ciri tambahan berkenaan dan ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikal, luas, kos pemilikan rendah, mudah dipandu dan boleh dipercayai dan pada masa yang sama mengekalkan aspek kemampuan, bererti Axia kini menawarkan nilai lebih tinggi daripada sebelumnya,” kata Zainal.




Perodua Axia 2019 ditawarkan dengan waranti lima tahun/150,000 km, mana yang dahulu.

"Dengan Perodua Axia 2019, kami ingin mengubah pengalaman mobiliti di Malaysia dengan menambah nilai, keselamatan dan gaya bagi memastikan Axia kekal menjadi pilihan pertama anda," tambahnya.