1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) hari ini mengumumkan ia sedang mengusahakan proses Permohonan Cadangan bagi pembangunan di Bandar Malaysia di Sungai Besi, di sini.

Pada 12 Jun lepas, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah menyuarakan hasratnya untuk memulakan proses Permohonan Cadangan bagi anak syarikatnya, Bandar Malaysia Sdn Bhd, dalam masa dua minggu, bagi memilih pelabur ekuiti yang berkelayakan sebagai rakan usaha sama dalam pembangunan keseluruhan Bandar Malaysia.

1MDB RE, yang juga pemaju induk projek berkenaan, telah mula mengiklankan dalam akhbar tempatan bagi permohonan Pernyataan Minat, minggu ini.

Unit 1MDB itu turut mengumumkan hasratnya untuk mencari rakan usaha sama pembangunan bagi menyertai projek berkeluasan 197 hektar berkenaan.

"Tarikh tutup penyerahan Pernyataan Hasrat itu adalah pada 10 Julai dengan CH Williams Talhar & Wong bertindak sebagai penasihat hartanah dan menguruskan langkah berkenaan," kata 1MDB RE dalam satu kenyataan.

Bandar Malaysia adalah pembangunan bandar bercampur yang dijangka menjadi pemangkin transformasi Greater Kuala Lumpur.

Ia turut terletak di lokasi strategik iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Kuala Lumpur City Centre.